Tuesday 5 April 2011

Seri Bayu Dalam Kenangan

Sincerity is My Priority


NAMA pena yang digunakan Seri Bayu, begitu terkenal sehingga menenggelamkan nama sebenarnya, Jamaludin Sulik. Inilah kehebatan penulis lirik yang mula aktif menghasilkan lirik bermula pada awal 1980-an.
Kebolehannya membuai perasaan peminat terbukti dengan penghasilan lirik indah menerusi lagu Cintamu Muzik Dihatiku nyanyian Anita Sarawak serta penyanyi lain antaranya Jamal Abdillah, Fauziah Latiff, Francissca Peter dan Amy Mastura. 
Berbekalkan kebolehan luas dalam bidang kewartawanan, Seri Bayu bijak menghasilkan lirik yang menepati sasaran usia serta kesesuaian penyanyi yang mengalunkan lagu terbabit. Pengalamannya dalam kehidupan diadun dengan baik sehingga berjaya melahirkan lirik yang indah serta tidak pudar ditelan zaman.

Keharmonian rumah tangga serta kehadiran lima cahaya mata, terus memberikan ilham buatnya menghasilkan lirik yang menarik. Dianggarkan sudah lebih 2,000 lirik dihasilkannya.

Bagaimanapun, ketentuan Tuhan tidak dapat dielak apabila perkahwinan dengan Azalina Ubit pada 1994 yang dikurniakan empat anak lelaki dan seorang perempuan, berakhir dengan perceraian pada 2004.

Kehidupan penulis lirik kelahiran Singapura ini semakin suram apabila dia yang pernah bergelar pengarang hiburan di beberapa akhbar tabloid, disahkan menghidap penyakit saraf motoneuron pada tahun yang sama. Ia sekali gus membataskan pergerakan Seri Bayu yang sebelumnya dikenali aktif dan lincah dalam sukan bola sepak.

Namun, keperitan yang ditanggung sedikit sebanyak terisi apabila penyanyi baru yang juga anak didiknya, Erema atau nama sebenar, Dayang Erema Zaira Awang Moshdad yang berasal dari Sarawak, sudi menerimanya sebagai suami.

Mengenangkan budi Seri Bayu yang bukan sedikit buatnya, Erema bersetuju berkahwin dengan Seri Bayu pada 19 Disember 2006 walaupun kesihatan penulis lirik itu tidak mengizinkan.

Hampir dua tahun melayari kehidupan berumah tangga, Erema akhirnya menuntut cerai di Mahkamah Syariah Petaling Jaya pada awal November 2008 dengan alasan Seri Bayu gagal menunaikan tanggungjawab sebagai suami. Pelbagai isu tercetus dalam proses tuntutan fasakh ini yang belum berkesudahan dan masih dalam perbicaraan mahkamah.

Sejak episod itu, penderitaannya semakin bertambah. Namun dengan kehendak Tuhan juga, masih ada insan prihatin bergelar keluarga angkat sudi menjaganya. Dari Shah Alam berpindah ke Serdang, selepas itu Seri Bayu tinggal bersama keluarga Abdul Ghani Pandak Sidi di Kampung Teluk Pelanduk, Port Dickson sejak empat bulan lalu.

Ikatannya dengan keluarga itu terjalin kerana impiannya untuk menggilap anak Abdul Ghani, Nazira, 16, bergelar penyanyi terkenal, sama seperti yang dibuktikannya terhadap Fauziah Latiff sebelum ini. Namun siapa sangka kampung yang tenang ini menjadi destinasi terakhir Seri Bayu.

Di kampung itu, dia menghasilkan lirik Sebelum Aku Pergi yang menggambarkan keluh kesah yang dihadapinya. Sebaik menyiapkan lirik itu kira-kira dua minggu lalu, Seri Bayu akhirnya meninggalkan kita semua pada Sabtu, jam 8.30 malam di Hospital Port Dickson akibat jangkitan kuman dalam paru-parunya.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Port Dickson pada Jumaat kerana keadaannya yang tenat. Pemergiannya pada usia 45 tahun ini membawa bersama derita yang ditanggung.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Pelanduk, selepas waktu Zuhur, kelmarin. Majlis pengebumian turut dihadiri beberapa rakan artis antaranya Sheeda dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez yang turut memberi sumbangan kepada keluarga Allahyarham.

Turut hadir ialah isterinya, Erema, bekas isteri dan anak-anak Allahyarham, ibunya, Haripah dan sanak saudara. Erema yang kelihatan begitu sedih berkata, sebelum ini mereka masih kerap berbalas khidmat pesanan ringkas dan dia amat terkejut dengan kematian suaminya.

“Saya dimaklumkan mengenai kematiannya oleh seorang rakan pada Sabtu, jam 9 malam. Walaupun rumah tangga bermasalah, saya masih isteri arwah yang sah. Kali terakhir berjumpa dengan arwah ialah pada Ogos lalu ketika hadir ke perbicaraan di Mahkamah Syariah, Petaling Jaya. Saya reda dengan pemergiannya,” katanya.

2 comments:

  1. huuhh...berangin aku satu badan lepas baca posting Cik Fana. 2 perenggan terakhir betul-betul buat aku jijik dengan perempuan bernama Erema nih... im not here to judge people, tetapi menelusuri episod hidu SB bersama Erama, aku boleh katakan ko memang PLASTIK -personal view. Ooo...ada hati mengaku saya isteri yang sah. kenapa tak mengaku saya isteri yang nusyuz, maka nerakalah untuk saya. ni tak lain tak laah , esok berebut royalti. statement redha tuh lagi buat betis aku geli . dah terang-terang ko yang tuntut fasakh. maknanya ko dah tak suka dia, tak sanggup nak bela dia..menangis sedey konon.!!!

    ReplyDelete
  2. Cik Fana tak tau menahu lak pasak di Nusyuz dengan Seri Bayu...macam macam karenah manusia ni dek non...masa bercinta semuanya manis kan?

    ReplyDelete