KENYATAAN pelakon dan pengarah veteran, Datuk Rosnani Jamil mendakwa biduanita Puan Sri Saloma meninggal dunia di pangkuannnya pada 25 April 1983 tanpa kehadiran saudara-mara, membuatkan keluarga arwah terkilan.
Kakak arwah, Mariani Ismail, 75, meluahkan rasa terkilannya dan mempersoalkan tujuan Rosnani atau mesra dengan panggilan Mak Nani membuat kenyataan sedemikian seolah-olah Saloma diabaikan ahli keluarganya ketika terlantar sakit.
Katanya, sepanjang arwah koma dan menjalani rawatan di hospital, mereka bergilir-gilir menjaganya kerana masing-masing ada kerja, tetapi anaknya, Linda sentiasa berada di sisi ibu saudaranya itu kerana tidak bekerja.
“Arwah ada mengatakan ingin bertemu Nasir (arwah) dan kami cuba mencarinya dan berjaya membawa Nasir berjumpa dengannya.
“Apabila dibisikkan ke telinganya mengenai kedatangan Nasir, arwah menitiskan air mata dan tidak lama selepas itu, menghembuskan nafas terakhir.
Arwah meninggal kira-kira jam 1 pagi dan keluarga rapatnya berada di sisinya ketika itu. Saya bersama anak-anak, Sasha dan suami, Azlan Ramli, Melissa yang berusia 10 tahun ketika itu, Dian P Ramlee dan suami, Mohd Amanti, ibu bapa saya, Umi Kalsom Mahban dan Ismail Osman serta bapa tiri saya, Mum Yusof ada di situ.
“Bagaimana pula ada pihak lain mendakwa arwah mening�gal di pangkuannya tanpa kehadiran saudara-maranya? Saya tampil membuat kenyataan ini kerana perkara itu tidak benar dan sangat kesal dengan ke�nyataan itu. Saya tidak pasti apakah tujuannya berbuat demikian.
“Bukan niat saya untuk membela diri, tapi untuk membetulkan perkara yang tidak benar. Tanyalah dengan mereka yang masih hidup untuk mengetahui cerita sebenar. Dian dan suaminya masih hidup begitu juga Sa�sha dan suaminya. Saya juga berharap orang luar tidak terus membuat kenyataan yang tidak benar mengenai arwah,” katanya ketika menghubungi Harian Metro.
Mariani mengakui Rosnani berkawan baik dengan arwah dan melawatnya setiap hari sepanjang Saloma terlantar di hospital.
Bagaimanapun, katanya, pada detik terakhir arwah, Rosnani tidak berada di sisinya sebagaimana didakwa sebaliknya dikelilingi ahli keluarganya.
Saloma atau nama sebenar, Salmah Ismail yang dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura pada 22 Januari 1953 menghembuskan nafas terakhir di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada 25 April 1983 selepas lima hari koma kerana masalah hati disebab�kan demam kuning.
Rosnani dalam ruangan Interaksi pada 6 April lalu mengatakan pengalaman bersama arwah ketika menghembuskan nafas terakhir di Hospital Assunta sebagai saat paling menyedihkan kerana bintang yang cukup diagung-agungkan dan dipuja-puja, pada akhir hayatnya hanya ditemani dirinya dan seorang ustaz.
Mariani berkata, dia ingin mengambil peluang untuk menjelaskan perkara itu ketika menjayakan program RTM, Aku, Dia & Lagu...Saloma, tetapi tidak dapat berbuat demikian.
Tambah membuatkan dirinya terkilan apabila sekali lagi membaca kenyataan Rosnani dalam Harian Metro Selasa lalu hingga terus menghubungi akhbar ini meminta diberi ruang untuk membetulkan perkara sebenar.
“Cukup-cukuplah membuat kenyataan yang bukan-bukan. Kalau Rosnani masih terus membuat kenyataan yang menjatuhkan maruah keluarga, saya tidak akan berdiam diri,” katanya.
Rosnani mengatakan sepanjang arwah tenat dan dirawat di hospital, dia dan Latifah Omar setiap hari bergilir-gilir menjaganya.
Pada hari kematiannya, Mak Nani dihubungi anak saudara arwah, Linda yang memintanya membawa ustaz kerana Saloma sedang nazak.
Sebaik sampai di hospital dan selesai membacakan Al-Fatihah, tangan Mak Nani yang digenggam Saloma dilepaskan.
“Ini adalah pengalaman paling menyedihkan yang pernah berlaku dalam hidup Mak. Bayangkan, arwah Saloma satu bintang cukup diagung-agungkan dan dipuja-puja. Lunak merdu suaranya, menjadikan dia penyanyi wanita pertama negara ini yang diundang membuat persembahan di luar negara seperti Australia. Namun di akhir hayatnya, hanya ada Mak dan ustaz yang menemani.
“Ketika kami mengusung jenazah Saloma di mana ketika itu Mak bersama
anak Mak, Anuardi, Armali, bapa tiri Saloma dan Linda, azan Subuh berkumandang dan hal ini membuatkan kami semua berasa insaf.
Setinggi manapun kedudukan kita, sebanyak mana pun harta kita dan sepopular mana pun kita, akhirnya mati seorang diri menghadap Yang Maha Esa,” beliau dilaporkan berkata.
No comments:
Post a Comment